Friday, June 21, 2013

Kemana hala tuju

2 hari lagi. 2 hari lagi kehidupan aku semakin berubah. 2 hari lagi aku akan bertemu kawan baru. 2 hari lagi aku harus berdikari. 2 hari lagi aku harus berjauhan dengan mak bapak aku. 2 hari lagi aku sudah menjadi pelajar kembali. Ke mana aku hendak pergi 2 hari lagi ? Aku hendak pergi mencuba dunia baru. Dunia baru yang penuh dengan cabaran. Aku bukanlah pelajar yang cerdik pandai ketika sekolah dahulu. Aku hanyalah pelajar yang ada naik turun tarafnya. Aku bukanlah pelajar yang cerdik pandai dalam akademik. Aku hanyalah pelajar yang masih terumbang-ambing akademiknya. Mungkin kerana masalah? mungkin kerana malas? mungkin kerana hasutan? mungkin kerana aku bukanlah genetik dari yang betul2 asli pandainya. Walaupun aku sudah berusaha gigih dan merajinkan akal fikiran aku untuk menampung segala pembelajaran yang telah aku belajar ? Satu hal kita kena percaya. Bukan semua yang rajin itu akan pandai. Bukan semua yang malas itu akan bodoh. Yang rajin itu kadang-kalanya bukanlah terlalu pandai. Dia pandai atas usaha kerajinannya. Yang malas itu kadang-kala bukanlah terlalu bodoh. Tapi dia bodoh kerana memalaskan dirinya.

Kawan-kawan aku lain semua sudah tempuhi dunia baru. Ada yang di Penang, ada yang di Johor, ada yang di Negeri Sembilan. Aku rasa kawan-kawan aku sudah bersepah-sepah . Ada yang sambung belajar di uitm, ada yang di politeknik, ada yang di utem, ada yang di matrik, ada yang di kolej, dan ada juga yang di institut mara. Aku? Aku hanya meneruskan di institut mara. Mara its mean kemahiran? Aku pelik, apa yang hina sangat dengan kemahiran ? Aku rasa kerja halal juga. Orang tanya " sambung belajar mana?" aku jawab "IKM sahaja." Terus yang bertanya itu membuat muka cemberut. Ingat kau cantik buat muka macam tu. Sudahnya yang bertanya itu terus mengajukan soalan-soalan kepada aku.

Antara soalannya:-
1. Kenapa ambil kemahiran? Sijil ke diploma ?
2. Kalau sijil rugi lah. Sebab memakan masa untuk sampai ke DEGREE.
3. Kenapa tak cuba swasta? kau kan kaya.
4. Tak cuba buat rayuan mana-mana?
5. Ambil kemahiran itu boleh dapat kerja ke?
6. Tak rasa menyesal ke amik kemahiran ?
7. Alah kemahiran ini untuk orang yang bodoh-bodoh je kan?. Yang keputusan tak gempak mana.
8. Ambil kemahiran ni jawatan kerjanya tak tinggi. Pangkat kuli je kan?.

Meh aku jawab ke semuanya soalannya.:-

1. Aku hanya mengambil Sijil sahaja. Kenapa aku ambil kemahiran? Sebab mungkin rezeki aku di kemahiran selepas tawaran ipta aku tak dapat. Dan kenapa juga aku ambil kemahiran sebab dorongan mak ayah aku, pak cik mak cik aku, saudara-mara aku.

2. Apa yang ruginya? Aku rasa tak rugi kalau aku ambil sijil. Sekurang-kurangnya aku dah ada kemahiran. Kalau aku nak sampai ke degree, biarlah sekali pun mengambil masa yang panjang. Supaya hidup aku tak ada lah mengharapkan "SHORTCUT". Diploma atau degree pun bagus. Aku tak nafikan. Keluar-keluar je dapat jawatan tinggi dengan sijil diploma dan degree yang kita ada. Itu yang betul-betul mengejar cita-cita dalam masa yang singkat. Perancangan itu pun bagus. Aku tak nafikan. Setiap orang ada pandangan yang tersendiri bukan? So, terimalah juga pandangan aku.

3. Aku bukan taknak cuba swasta. Banyak surat daripada swasta dah sampai ke rumah aku. Tapi aku berfikir juga. Kalau aku masuk swasta, tak membebankan mak bapak aku ke ? Kau tau-tau jelah, swasta beribu-ribu nak membayarnya walaupun ada ptptn tapi aku yakin tak mencukupi ! ptptn itu hanya wang pembelajaran sahaja, bukan wang sara hidup. Aku taknak bila aku masuk swasta hujungnya mak bapak aku yang kena bayar beribu-ribu. Kalau boleh aku taknak menyusahkan mak bapak aku. Kalau kau nak cerita aku ni kaya. Maaflah kalau bahasa aku ni kasar. Kaya aku bukannya kaya yang berpanjangan sampai aku mati. Walaupun aku anak tunggal tak bereerti aku kaya. Aku tak suka orang meletakkan aku di taraf orang yang kaya. Kehidupan kami hanya sederhana. Orang luar sahaja yang menilai tentang kami. Duit mak bapak aku itu hasil titik peluh mereka bekerja. Biarlah mereka menyimpan untuk masa depan mereka daripada aku masuk swasta aku menghabiskan duit mak bapak aku kerana terpaksa tanggung pembayaran. Sia-sia je mak bapak aku bekerja. Barang yang aku beli tak ada lah yang brand sangat. Kalau aku nak, setahun sekali je aku dapat. Kebanyakkannya aku beli yang murah-murah. Lagi satu di swasta awal-awal je mereka kata ada keistimewaan itu ini. Tapi mesti ada syaratnya, kalau setiap 1 sem pointer tak bagus, jangan haraplah kau nak dapat keistimewaan yang dia bagi. Sudahnya, kau kena bayar untuk 1 sem yang pointer kau tak mencukupi syarat. So? apa pandangan kau ?

4. Aku dah cuba buat rayuan untuk ipta. Tapi mungkin juga bukan rezeki aku ataupun atau salah pilih course. Mungkin ada hikmah kenapa aku tak dapat ipta dan aku mendapat tawaran kemahiran. Dan ada ura-ura mengatakan pihak atasan mengurangkan pengambilan sijil diploma sebab dah terlalu ramai diploma katanya.Dan terlalu ramai pengambilan diploma yang menganggur. Aku pun tidak tahu kesahihannya. Tapi bila diperhatikan balik mungkin ye juga. Sebab terlalu ramai tak dapat tawaran ke ipta. Yang mendapat tawaran matrikulasi mereka boleh pergi ke matrikulasi bila mereka tidak mendapat tawaran ipta. Yang mendapat tawaran form6 mereka akan pergi ke form6 bila mereka tidak dapat tawaran ipta. Aku pun dapat tawaran form6. Tapi aku taknak pisang berbuah dua kali.

5. Kau tak payah ceritalah kalau ambil kemahiran tak boleh dapat kerja. Banyak syarikat-syarikat besar ambil pekerja daripada pelajar kemahiran. Sebab pelajar kemahiran lebih banyak kemahirannya. Buktinya ? Kau cuba lah tanya tokey syarikat-syarikat besar atau kilang. Antara sijil kemahiran dan diploma mana diorang akan pilih ? Rezeki pekerjaan itu Allah yang bagi. Kita belajar dan bekerja kerana dia segala urusan kita dipermudahkanNya.

6. Menyesal untuk apa ? menyesal sebab gaji kerja tak tinggi ? menyesal sebab taraf pekerjaan rendah ? Itu semua ke yang kau pandang dalam hidup? Tak guna kau jadi manusia kalau kau hanya mengejarkan taraf daripada mencari rezeki hanya kerana Maha Esa. Kau kena percaya, rezeki Allah berikan kepada kita. Jangan kau nak pertikaikan kenapa rezeki orang ini macam ni, dan rezeki orang itu macam itu. Kadang-kala Allah tu bagi rezeki kepada seseorang dengan cemerlang akademiknya. Kadang-kala Allah itu bagi rezeki kepada seseorang dengan kerjayanya. Kadang-kala Allah itu bagi rezeki kepada seseorang dengan peluang pekerjaannya. Kita manusia dan hambaNYA tidak boleh mempertikaikan rezeki orang yang telah Allah berikan. Percaya satu sahaja, rezeki setiap hambaNYA Allah berikan yang berbeza-beza. Supaya tidak semua yang mempunyai kelemahan terus lemah, dan tidak semua mempunyai kelebihan terus berjaya.

7. Bodoh tak bodoh, kebanyakkannya pelajar kemahiran ini juga lah yang semakin cemerlang hidupnya. Ye, memang penting keputusan SPM/STPM . Sebab itu lah penentu masa depan yang orang selalu uar-uarkan. Tapi kau kena fikir juga, tidak semesti orang yang cemerlang keputusan SPM berjaya dalah hidupnya. Tidak semesti orang yang tidak cemerlang keputusan SPM tidak berjaya dalam hidupnya. Bukan nak kata apa. Mak aku kerja kerajaan. Bapak aku kerja Swasta. Dua-dua ni boleh aku menilaikan. Mak aku cikgu. Ayah aku chargeman gamuda water yang dahulunya hanya menggunakan sijil kemahiran sahaja. Tapi sekarang gaji dia mengalahkan orang yang dah ada diploma dan degree. Aku pun ada juga orang-orang yang terdekat dahulunya bodoh, tapi sekarang ? menjadi pensyarah, ada yang menjadi bisnesman yang berjaya. Sebab apa ? sebab dahulunya orang pandang dia bodoh, tetapi tidak tahu kelebihan yang dia ada. Yang pandai dahulunya? Disitu sahaja kemampuan yang dia ada. Jadi nak menilai orang jangan hanya melihat tersurat sahaja. Nilai juga yang tersiratnya.

8. Kalau jawatan yang kau pandang sia-sia je kau mengutuk menghina orang. Dosa kau juga yang bertimbun. Kau nak mempertikaikan rezeki orang ? Tidak ada istilah pangkat kuli. Semua sama rata. Kalau kau nak tahu, kebanyakkan pelajar diploma dan degree ini lah yang ramai penganggurnya. Itu kebanyakkan orang kata. Aku cuma ingin menyampaikan sahaja. Tapi bila pandang peluang pekerjaan, peluang pekerjaan untuk kemahiran lebih banyak. Jadi untuk apa kita mempertikaikan jawatan? Kadang-kadang jawatan tinggi itu tahap dia lebih rendah daripada orang lain.

Semua jawapan aku dah berikan. Jawapan aku berpandukan pandangan aku. Kau tak terima pandangan aku, aku tidak kesah. Sebab mungkin kau juga ada pandangan yang tersendiri.  Aku bukan nak mengkiritik. Nanti bila aku nak sambung belajar, diploma juga yang aku akan hadap. Tapi maksud aku nak sampaikan jangan sesekali nak memandang rendah dengan orang yang mengambil kemahiran. Kemahiran mereka bukan sebarang kemahiran. Mereka sudah ada satu keistimewaan. Diploma dan degree juga ada bagusnya. Kau usaha lebih, percaya dengan ketentuan Ilahi, InshaaAllah semua di permudahkan. Masing-masing mempunyai target. Ada yang ingin sampai ke master. Tapi belajar biar tidak menghina orang lain. Aku juga berat kepada diploma. Diploma pun ada kelebihannya. Tapi bila aku fikirkan balik, biarlah aku mula dari bawah. Kadang-kala  kalau kita dah biasa mula dari atas, akhirnya ke bawah juga kita akan hadap. Kehidupan kita kan ibarat roda. Sentiasa berpusing bila tiba masanya.  Yang penting usaha. Belajar tahap rendah tapi usaha tak ada, pun tak guna juga. Belajar tahap tinggi tapi usaha tak ada, pun tak guna juga. Jadi, kesemuanya sama. Usaha demi masa depan, InshaaAllah semua dipermudahkan.




3 comments:

  1. Ya, setuju! Masa Wan baru habis SPM dulu tu pun ada juga sedara tanya, sambung belajar dekat mana apa semua tu. Wan cakap jelah ambil kemahiran, tak ada masuk universiti mana-mana pun. Kemudiannya boleh pula dia mengutuk pasal kemahiran ni. Beria dia suruh Wan jangan masuk, baik ambil Universiti lagi bagus. Dia kata gaji pun besar bila kerja. Haha! Itu pun nasib baik dia tu orang tua yang masih berfikiran kampungan. Zaman dulu kalau masuk Universiti bolehlah nak bangga. Tapi sekarang tak payahlah nak bangga. Ramai budak yang rosak sebab sambung belajar jauh-jauh. Yang sebenarnya budak-budak yang masuk Universiti ni banyak belajar teori sahaja. Yang amalinya tak lebih 10% pun.

    Yang pasal nombor 3 tu memang okey pun Ikaa tak terima tawaran mereka. Untuk pengetahuan Ikaa dan semua pembaca, mereka yang memanggil dengan pelbagai cara sama ada telefon atau menghantar surat ke rumah dengan menawarkan kursus-kursus tertentu kepada lepasan SPM, mereka akan dapat komisyen setiap pelajar yang menerima tawaran itu. Macam Wan dulu, beria sangat dia telefon sedangkan dah cakap tidak mahu. Hari lain tetap orang yang sama memanggil untuk mempromosikan kolej mereka. Sama juga dengan kolej-kolej yang lain buat perkara yang sama untuk merebut peluang. Di situ sudah jelas lagi terbentang yang mereka hanya lebih kepada perniagaan (wang) dan bukan untuk membantu lepasan SPM. Sedangkan keputusan SPM Wan bukanlah bagus. Tapi dengan mudah boleh dapat sambung belajar? Haha!

    Berkenaan nombor 4 itu memang betul. Ramai pelajar Diploma yang menganggur. Abang Wan (Amim Najmi) pun menganggur sekejap lepas habis diploma tu. Tapi dengan kemahiran yang dia ada, Alhamdulliah dia dapat jadi seorang pengajar/cikgu dalam bidang perniagaan. Dia dapat bekerja di situ pun bukan sebab sijil Diploma tapi sebab kemahiran. Sebabnya masa dia temuduga tu sijil Diploma dia masih tertangguh dengan beberapa masalah. Kemudiannya masa temuduga pun tak ditanya pun pasal sijil, tapi hanya ditanya pasal kemahiran dan pengalaman. Kemahiran dan pengalaman adalah penting. Bukan sijil.

    Ada juga "kebanyakan" mereka yang sambung belajar di merata negeri yang jauh di halaman kampung dengan berjauhan keluarga, hidup mereka mudah terpengaruh dan rosak. Ada kenalan Wan dalam Facebook yang baru habis maktab perguruan, kawan-kawan dia yang perempuan ramai dah yang mengandung tanpa nikah. Ini kisah benar dan memang banyak dah dengar kes macam ni. Kebanyakan mesti pelajar. Perkara itu berlaku sebab berjauhan dengan ibu bapa. Harap Ikaa boleh jaga diri dengan baik. Sama juga dengan pembaca yang lain.

    Dan mereka yang sambung belajar di kolej atau universiti memang kena bayar hutang yang berlebihan. Siap kena bayar bunga lagi tu. Itu niat membantu atau perniagaan pinjaman wang? Padahalnya ramai pelajar yang tak pandai nak guna duit tu. Duit masuk, pergi enjoi. Belajarnya entah ke mana. Itu semua pengaruh rakan sebaya. Macam abang Wan pernah cakap, kawan-kawan dia sambung belajar dekat bandar, mereka nak enjoy je. Tapi dalam kelas tak belajar dan ada juga yang tak masuk kelas. Balik rumah lepak dengan arak. Tapi semenjak tu, abang Wan ulang alik je dari rumah ke kolej. Tak duduk dah rumah tu dengan mereka. Wan kira untung kut sebab dah dapat tahu pengalaman abang Wan macam mana. Jadi, Wan boleh berhati-hati dengan sambung belajar ni. Mana yang patut mana yang tak patut. Hehe!

    Jadi, harap Ikaa sukses dengan hala tuju yang akan datang. Dalam bahasa Cinanya "Chaiyok!". =D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kihkihkih. Terima kasih Wan ! Betul apa yang Wan cakap. Yang penting usaha. Masa kita pelajar sekolah orang pandang akademik. Tapi bila kita dah masuk ke alam pekerjaan orang tak pandang akademik. Orang pandang usaha yang dia jayakan. ^^ InshaaAllah ika akan jaga diri Ikaa sebaiknya.

      Delete
  2. yup betol sangat..zaman sekarang bukan mcm zaman dulu..sekarang gaji degree pun mcm gaji diploma..so jangan bangga sangat kalau dapat sambung belajar tinggi tinggi.rezeki tuhan yang bagi..

    ReplyDelete