Thursday, July 5, 2012

Nasihat seorang sahabat.


Batu nisan milik sahabatku aku tatap dan aku pegang dengan penuh perasaan.Masih tertera nama dan tarikh kematian Aziera.Nur Aziera Bt Rubaie.Pulang ke rahmatullah pada 13/09/2010. Sebelahnya pula kubur arwah bapanya yang turut meninggal akibat kemalangan ngeri yang dihadapi keluarga arwah di Rembau. 13/09/2010, merupakan hari yang paling bersejarah dan meninggalkan sejuta makna dalam hidup aku dan rakan-rakanku. Hari ini,genap satu tahun sepuluh bulan pemergian arwah. Bayangan wajah gelak tawanya masih terbayang-bayang dalam ingatan aku. Dalam genangan air mata aku terus membuka helaian surah yaasin.Aku ingin menghadiahkan ayat-ayat suci itu untuk sahabatku Nur Aziera.Semoga rohnya tenang di alam sana.Amin.

“Ika, kau ni kenapa. Kalau ada masalah ceritalah dengan aku. Aku tak sukalah tengok kau sedih”.

Aku terus diam membisu. Aziera menyambung kata-katanya

“Ika, kau sedih sebab kau gagal dalam subjek matematik? Ika, apa ada gunanya aku sebagai sahabat kau? Aku boleh ajarkan kau. Aku boleh bantu kau. Kawan-kawan lain pun boleh bantu kau. Ainan pun boleh ajarkan kau. Tidak bermakna sekali kita gagal, kita gagal selamanya. Kita kena usaha Ika”.

Air mata aku terus mengalir.

“Aku kecewa Ziera, aku dah banyak kali usaha untuk dapatkan markah yang tinggi. Tapi kenapa aku asyik gagal setiap kali peperiksaan? Aku malu dengan kau dengan kawan-kawan yang lain.”

Aku terus menekup mukaku. Abby datang menghampiri aku.

 “ Ika, sabar Ika. Kau kena ingat Allah tu adil. Sekarang dia tak bagi mungkin akan datang dia akan bagi apa yang telah kau usahakan. Jangan terlalu kecewa. Masih panjang lagi waktu untuk kita perbaiki semuanya. PMR pun masih lambat lagi. Sekaranglah waktunya kita nak tambahkan lagi usaha kita mendapat markah yang cemerlang”.

Aku cuba mengawal emosi aku. Aku berasa lega selepas mendengar nasihat daripada Aziera dan Abby. Aku terus memasang niat untuk terus menambahkan usaha aku supaya dengan kesungguhan aku ingin mendapatkan markah yang cemerlang tercapai.



Kringg…Kringgg.

Loceng berbunyi menunjukkan tamatnya masa persekolahan. Dalam sibuk aku mengemas buku aku menegur Aziera.

 “Ziera, petang ni kita study group nak? Kita ajak kawan-kawan yang lain. Kita siapkan kerja rumah yang cikgu-cikgu bagi.”

 Ziera mengangguk sambil berkata.

“ Boleh, petang ni pun aku tak ada pergi mana-mana. Belajar kat rumah aku lah. Adik-adik aku pergi sekolah agama. Tak ada gangguanlah kita nak belajar nanti”

Aku memahami. Kebiasaannya setiap kali kami membuat belajar berkumpulan dirumahnya adik-adiknya sering mengganggu kami ketika belajar. Tiba sahaja dirumah. Aku terus memberi pesanan ringkas kepada Ain,Ainan,Abby,Awien, dan Ain Farah untuk mengajak mereka membuat belajar berkumpulah dirumah Aziera. Mereka bersetuju dan akan tiba pada masa yang ditetapkan. Setelah bersiap-siap dan memastikan buku yang aku ingin bawa, aku terus meminta ibuku menghantarkan aku ke rumah Aziera. Apabila aku tiba di rumah Aziera, kawan-kawan lain masih belum sampai lagi. Aku memberi salam.

“Assalammualaikum”.

Ibu Aziera menyahut

“ Waalaikumussalam. Oh Ika, masuklah masuklah. Aziera ada kat dalam bilik tu. Baru lepas solat. Jangan malu-malulah. Macam tak biasa dengan makcik”.

Ibu Aziera juga rapat dengan kami semua. Dia menganggap kami seperti anak-anaknya sendiri. Sesudah aku bersalam dengan Ibu Aziera aku terus masuk ke bilik Aziera.

“Ziera, mana kawan lain? Lambatnya”.Aku mengeluh pada Aziera.

“ Tadi Abby bagi mesej. Dia cakap nak tunggu Awien. Awiennya baru lepas mandi. Kau macam tak tau Awien tu macam mana. Mandi mengalahkan anak raja. Haha”. Aku tergelak dengan kata-kata Aziera. Tapi memang betul pun. Kalau bab mandi, dialah yang paling lama mandi. Katanya selagi badan dia tak wangi, selagi tu dia tak keluar bilik mandi. Tidak lama kemudian kawan-kawan yang lain pun tiba. Kami terus menjalankan tugas kami sebagai pelajar untuk membuat kerja rumah yang telah cikgu berikan. Kami membuat dengan penuh perhatian. Aku pula tidak ketinggalan untuk bertanya mana yang aku tidak faham. Aziera selalu berpesan.

“Biarlah kita belajar dengan hati yang ikhlas. Baru kita boleh faham apa yang dipelajari.” Akhirnya, aku dapat mengatasi masalah yang aku hadapi dalam mata pelajaran yang aku lemah.

Setelah siap semua kerja sekolah, emak Aziera menghidangkan kami minum petang. Kuih emak Aziera memang sedap kena pulak dengan air teh panas. Sambil berbual-bual Farah bersuara.

 “Weh, kau orang ingat tak hari tu Cikgu Azreen ada bagi tahu pasal perkemahan pengakap? Dekat mana ye? Aku ingat aku nak ikut serta jugaklah”.

Kami semua merupakan ahli pengakap. Dan bergiat aktif dalam setiap perkemahan.

“ Hah! Aku ingat. Cikgu cakap dekat SMK Rantau Panjang. Aku pun nak ikut jugak. Cikgu cakap bayar rm15 untuk duit makanan. Kalau nak pergi kena bagi nama dengan duit sekali kat cikgu”. Sahut Ain sambil mengunyah kuih yang emak Aziera buat.

“Yeke? Eh, jomlah kita semua pergi. Mesti seronok! Boleh jumpa kawan baru.” Sampuk aku.

Hari perkemahan pengakap…..

Aku mencapai telefon bimbitku. Jari-jemariku terus mendail nombor telefon Aziera. Aziera mengangkat panggilan telefonku.

“Ziera, kau dah siap kemas barang? Aku tak ada lampu suluhlah. Kau bawa boleh? Hehe. Kejap lagi aku amik kau. Aku tengah tunggu ayah aku ni. Lambat pula dia ni”.

Aziera menyahut “ Aku dah siap semuanya. Jangan risau, aku memang sedia dah lampu suluh satu untuk kau. Ok, aku tunggu kau”.

Setelah mengambil Aziera, ayahku terus menghantar kami ke sekolah. Setibanya di sekolah kami terus mendaftar nama. Kawan-kawan lain juga sudah ada. Apabila ahli pengakap yang menyertai perkemahan sudah cukup, kami dan cikgu bimbingan terus meneruskan perjalanan kami ke SMK Rantau Panjang. Tiba sahaja cikgu mengarah kami memilih kawasan yang sesuai untuk memasang khemah. Sesudah kami siap memasang khemah, kami berbincang untuk membahagi peserta sama rata untuk setiap khemah. Aku berkongsi khemah dengan Aziera,Hilda,dan Syafida. Hilda dan Syafida juga merupakan rakan sebaya kami.

Kami menjalankan aktiviti kami penuh dengan keseronokkan dan keriangan. Berbagai aktiviti yang kami lalui. Tetapi aku tidak boleh melupakan pada malam terakhir kami di perkemahan pengakap. Malam kebudayaan. Aziera mengalami demam yang teruk. Aku bersama kawan-kawan lain memimpin Aziera ke bilik rawatan yang sudah tersedia. Aku berasa simpat dengan keadaan Aziera ketika itu. Badannya terlalu lemah sehingga mukanya pucat seperti tiada darah. Dalam hati aku hanya berdoa supaya Aziera akan pulih seperti biasa.

Peperiksaan Percubaan PMR…..

“Ziera, aku takutlah nak jawab kertas soalan matematik dengan sejarah. Dah lah dua subjek tu jeh yang aku asyik gagal”.

Dalam kedudukan peperiksaan Aziera berada di hadapan aku. Sementara menunggu masa untuk menjawab peperiksaan, kami membaca secara ringkas nota-nota yang cikgu berikan.

“Ika, sekarang kau kan dah ada kemajuan. Periksa pertengahan tahun hari tu matematik dengan sejarah kau naik jugak markahnya. Itu berkat usaha kau. Kalau kita nak berjaya kita kena naik dengan perlahan-lahan. Baru kita dapat kejayaan itu dengan sempurna. Jangan risaulah. Cikgu pun dah puji dengan kemajuan kau sekarang. Jawab je dengan tenang. Insyaallah, kau boleh jawab. Kalau kau tak tau, baling kertas kat aku. Haha”.

Terburai ketawa aku setelah mendengar gurauan Aziera.

“ Ish kau ni, ada ke pula. Tak nak aku. Hm, aku harap aku boleh jawab”.

Peperiksaan terus berjalan dengan lancar. Dan Alhamdulillah aku dapat menjawab semua soalan dengan tenang.

Apabila tamatnya peperiksaan percubaan PMR cikgu-cikgu memberikan kertas jawapan kami setelah habis menanda.

“Tahniah Ika! Sekarang kau dah ada peningkatan. Lepas ni kalah lah aku dengan kau. Hahaha” ucap Aziera apabila melihat markah semua subjek aku. Aku hanya tersenyum sambil berkata

 “ Alhamdulillah, berkat usaha aku dan tunjuk ajar kau dengan kawan-kawan yang lain. Aku pun gembira jugak tengok peningkatan markah aku. Mesti mak aku dengan ayah aku bangga”. Aku berasa syukur dengan markah yang aku dapat.

“Aku pun bersyukur juga. Atas berkat usaha kita belajar berkumpulan kita dapat markah yang tinggi. Aku harap peperiksaan sebenar nanti kau dapat keputusan yang cemerlang. Nanti masa nak ambil keputusan aku nak kau tunjuk kat aku keputusan kau tau!”

Tragedi 13 september…..

*Alunan lagu Tinggal Kenangan nyanyian Saleem*. Telefon bimbitku berdering. Aku tersedar dengan bunyi deringan telefon bimbitku. Aku melihat jam di dinding bilikku. Menunjukkan pukul 8.15pagi. Badanku terasa sengal-sengal akibat keletihan menziarahi saudara-mara sempena Hari Raya Aidilfitri.  Aku dengan keadaan separuh sedar cuba untuk menjawab panggilan itu.

“Assalammualaikum. Siapa ni?”. Aku menanyakan siapa gerangan yang menelefonku.

“Waalaikummusalam. Ni Awien. Ika, kau tau tak Aziera meninggal?”. Awien menjawab salamku. Aku seperti terdengar esakkan awien di hujung talian.

“Oh Awien. Hah? Ish! Ape kau merepek ni. Jangan percayalah. Kau macam tak tau. Azierakan suka main-main”. Aku cuba menafikan apa yang Awien katakan.

“Kau kenal cikgu Sabariza? Tadi cikgu tu mesej ayah aku. Dia cakap Aziera meninggal sebab kemalangan. Betul ke weh? Aku tak percayalah. Aku telefon kawan lain masing-masing tak angkat”. Awien menceritakan apa yang berlaku.

“Kau biar betul Awien?! Aku tak percayalah. Kejap, aku telefon Abby dulu. Nak tanya betul ke tidak apa yang kau cakapkan ni.”

Aku terus mematikan panggilan Awien sebentar tadi. Sepantasnya aku mendail nombor telefon Abby. Tetapi tidak berjawab. Lalu aku membuat keputusan untuk menelefon ayah Abby. Akhirnya panggilanku berjawab. Ternyata ayah Abby yang mengangkat panggilanku.

“Assalammualaikum. Pakcik, Abby ada?”. Aku memberi salam terlebih dahulu.

“Waalaikummusalam. Ada. Ika, Ika tau tak Aziera meninggal?”. Ayah Abby mengajukan soalan yang sama seperti Awien menanyakan kepadaku sebentar tadi.

“Ya Allah! Betul ke pakcik? Pakcik boleh panggilkan Abby? Saya nak bercakap dengan dia”. Akhirnya kebenaran terungkap. Apa yang Awien tanyakan sebentar tadi benar-benar belaka.

“Ika, Aziera dah meninggal. Aziera dah meninggal, Ika”. Di hujung talian aku mendengar suara Abby menangis teresak-esak.

“Ya Allah, Ya Rabbi. Betul ke Abby? Ok macam ni lah. Aku datang rumah kau sekarang jugak”. Aku terus mengucap apabila Abby mengatakan kematian Aziera. Aku tidak dapat mengawal emosi dan terus menangis dengan teresak-esaknya. Ibu bapaku menyanyakan apa yang berlaku. Aku memberitahu bahawa Aziera dan keluarga terlibat dalam kemalangan. Aku meminta ayahku menghantarkan ku di rumah Abby.

Tiba sahaja dirumah Abby aku terus memeluk Abby dengan penuh perasaan sedih. Abby menangis dibahuku. Aku juga turut menangis. Air mataku mengalir dengan deras. Seperti tiada penghalang yang dapat menghalang air mataku daripada terus mengalir. Abby menceritakan kesemuanya. Abby mendapat berita daripada jirannya yang seorang guru di sekolah kami. Cikgu Fatonah menceritakan apa yang berlaku. Aku hanya diam membisu mendengar apa yang Abby ceritakan kepadaku. Dalam fikiran ku hanya memikirkan ini semua adalah mimpi. Mimpi buruk yang tidak akan pernah berlaku. Pada hari raya itu aku seperti tidak bermaya untuk meraikan perayaan dengan riang. Aku tidak dapat melawat jenazah. Kerana kemalangan berlaku di Johor dan ketika itu kami tidak tahu kemana mayat dibawakan. Aku seperti orang bodoh yang tidak tahu apa-apa. Aku tidak tahu sama ada hendak percaya atau tidak. Kawan-kawan sekolah hanya mengucapkan takziah kepadaku. Aku pada mulanya seperti tidak boleh menerima kenyataan atas pemergian Aziera. Aku masih tidak berpuas hati. Aku cuba mendail nombor Aziera. Tetapi tidak berjawab. Lalu aku menelefon emak Aziera. Panggilanku berjawab. Aku menanyakan apakah benar apa yang aku dengar tentang kematian Aziera dan bapanya. Emak Aziera mengakui bahawa benar cerita yang aku dengarkan. Aku seperti kehilangan nyawa apabila mendengarkan pengakuan emak Aziera. Aku terjelupuk jatuh. Aku menangis semahu-mahunya. Aku seperti hilang arah. Setiap benak fikiranku terbayag wajahnya. Telingaku seperti mendengar bisikan suaranya dan gelak tawanya. Tanganku masih terasa sentuhannya. Badanku terasa pelukkannya. Tetapi aku sedar, itu hanyalah khayalanku. Akhirnya aku terpaksa terima dengan redha apa yang sudah berlaku atas persahabatan kami. Mungkin ada hikmah disebalik ketentuan Ilahi. Allah itu maha adil. Dia mengambil seseorang daripada kita, tetapi dia memberikan kita sejuta orang yang menyayangi kita. Tiba-tiba aku teringatkan perbualanku bersama arwah Aziera pada hari lalu.

“Ziera, kau pernah mimpi tak yang kau dah mati?” aku bertanya kepada Aziera.

“Emm, penah. Aku mimpi aku mati kemalangan. Dalam mimpi tu aku Nampak yang aku kena kapan. Seramlah jugak mimpi tu. Tapi tu kan mimpi.” Aziera menjawab pertanyaanku.

“Ish, biar betul? Aku harap tak menjadi kenyataan mimpi kau tu. Aku masih perlukan kau. Aziera, aku nak kau janji dengan aku. Jangan tinggalkan aku. Kita kawan sampai bila-bila ye”. Aku terus menggenggam jari-jemarinya itu.

“Mimpi tu kan mainan tidur. Jangan percaya sangatlah. Kita serah pada takdir ok. Ye, Ziera janji Ziera tak tinggalkan Ika. Ika pun janji jangan tinggalkan Ziera.”

Air mataku terus mengalir apabila mengingatkan perbualanku bersama arwah Aziera. Bayangan Aziera seperti berlegar-legar dimataku. Setiap sudut aku seperti merasakan kehadiran Aziera. Pada malam hari kejadian, berita utama siaran Tv3 telah menyiarkan kemalangan yang berlaku di Rembau. Ternyata mangsa kemalangan itu adalah keluarga Aziera. Aku terkesima. Jurukamera menunjukkan mayat yang sudah berbungkus di tepi jalan. Dan aku percaya, itu adalah mayat arwah Aziera. Aku dapat melihat tangannya yang putih mulus walaupun seluruh badannya tertutup dengan plastik hitam. Pembaca berita mengatakan bahawa kenderaan arwah bapanya telah melanggar sebuah lori rosak di tepi jalan. Kejadian berlaku pada awal pagi 5.15pagi. Pada ketika itu, keluarga arwah dalam perjalanan pulang ke kampungnya untuk kenduri tahlil 100hari datuknya. Tetapi arwah bapanya tidak dapat mengawal keretanya lalu melanggar belakang lori yang rosak itu. Kereta milik arwah bapanya berpusing sehinggakan arwah Aziera tercampak melalui tingkap kereta sejauh 10meter. Arwah Aziera meninggal ditempat kejadian. Manakala bapanya menghembuskan nafas terakhirnya di bahu isterinya, iaitu emak Aziera. Adik-adik arwah Aziera hanya cedera ringan. Arwah Aziera bersama bapanya di kebumikan di Johor. Kampung bapanya.

Setiap malam aku berharap apabila aku tidur, dan aku bangun semula pada keesokkan paginya, aku hanya mengalami mimpi ngeri. Setiap malam juga aku mimpikan Aziera. Dalam mimpiku seperti Aziera ingin memberitahu aku sesuatu. Setelah beberapa hari pemergian arwah, aku bersama kawan lain bercadang untuk menziarahi keluarga arwah. Kami berkumpul dan gerak bersama ke rumah arwah. Tiba sahaja dirumah arwah Aziera, emak arwah terus memeluk kami. Hanya air mata yang menemani kami saat itu. Aku berasa simpati terhadap adik-adik arwah yang masih kecil yang sudah kehilangan bapa. Kami berkumpul didalam bilik arwah. Di bilik itu lah yang membawa seribu makna dalam hidup aku. Bayangan arwah sedang mengajarku masih ada dalam fikiranku. Bayangan gurauan kami di bilik itu seperti dihidupkan semula. Baju sekolah arwah masih tergantung dan ia seperti sudah di gosok. Mana tidaknya, lagi beberapa hari lagi cuti sekolah sempena Hari Raya tamat dan kami akan menghadapi PMR. Tiba-tiba kakak sepupu arwah meminta aku keluarkan buku-buku teks arwah untuk dipulangkan kepada sekolah. Ketika aku sibuk mengeluarkan buku-buku tersebut, aku terjumpa sekeping surat. Di surat itu tertulis

“Baca surat ni bila Ziera dah takda dekat sekolah SMK RAJA MUDA MUSA”.

Tangan aku menggigil apabila memegang surat tersebut. Aku terus memberikan surat itu kepada Abby. Aku meminta Abby membacakan isi surat tersebut.

“Assalammualaikum, istimewa untuk tatapan rakan-rakanku Ain Farah, Ainan, Abby, Ain, Awien, dan Atiqa. Ziera ingin mengucapkan salam terakhir kepada kalian semua. Ziera sayang sangat pada persahabatan kita. Ziera tidak mahu kehilangan kawan seperti kalian. Ziera tidak tahu kenapa Ziera menulis surat ini. Hati Ziera terdetik untuk menulis. Jika surat ini sudah ada di tangan kalian bermakna Ziera sudah tiada lagi di muka bumi ini. Ziera mahu minta ampun andai Ziera banyak melukakan hati kalian. Kamu semua jangan risau keranan Ziera sudah mengampunkan segala kesilapan kalian pada Ziera. Manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Ziera sudah pergi jauh ni. Ziera harap kalian semua jaga diri baik-baik dan belajar rajin-rajin. Buat betul-betul semasa menjawab peperiksaan. Akhir sekali, Ziera sayang sangat pada kalian semua.
Salam..
Yang Ikhlas,
Nur Aziera bt Rubaie,
12May2010,10.50pm.”

Aku dan kawan-kawan yang lain hanya mendiamkan diri setelah Abby usai menghabiskan bacaan surat tersebut. Kami tidak tahu ingin mengatakan apa-apa lagi. Masing-masing melayan perasaan sendiri.

“Ika, dah jom kita balik. Dah petang ni."Abby menyentuh bahuku. 

Lamunanku terhenti. Aku hanya mengangguk bertanda setuju untuk pulang bersama. Kerana perjalan untuk pulang ke dari Johor ke Selangor mengambil masa yang lama. Aku dan Abby akan menziarahi kubur arwah apabila musim cuti sekolah tiba. Sekarang sudah 1tahun 10bulan arwah Aziera pergi meninggalkan aku dengan kawan-kawan yang lain. Aku dan kawan-kawan yang lain juga mendapat keputusan yang baik dalam PMR. Dan aku berasa kesal kerana aku tidak dapat menunjukkan keputusanku kepadanya. Tetapi aku berasa terima kasih tidak terhingga kerana nasihat dia telah merubahkan pembelajaranku dan kehidupanku. Pemergian dia juga telah membuat kami berasa takut untuk kehilangan seorang sahabat lagi. Kini aku menghadapi SPM, aku berharap aku akan terus berjaya atas nasihat yang telah dia berikan kepadaku. Budi yang telah dia berikan kepada aku, tidak aku lupakan sampai bila-bila.







(Maaf, aku tak reti buat cerpen. Itu pun pakai buat je. Tak tau betul ke tidak bahasa melayunya. Cerita kat atas ni ada tokok tambah sedikit. Tapi ada yang betul dalam cerita ni. Aku buat ni pun sebab latihah karangan kelas aku kena buat cerpen. So, aku buat lah cerpen ni.Al-Fatihah untuk arwah dan bapanya.)

6 comments:

  1. herm , best , , pandai akk buat cerpen

    ReplyDelete
  2. dik cuba hantar cerpen ni utk pertandingan ITbm..

    ReplyDelete
  3. sis baca dr mula sampai habis cerpen ika ni , sedih sgt . al-fatihah utk arwah aziera dan bapanya , semoga mereka tenang disana .. sedekahkan yassin slalu kpd arwah .. hanya itu yg dapat membalas segala budi dia pada ika dan i'llah dapat kurangkan kerinduan pd arwah .

    Pandai ika buat cerpen :)

    ReplyDelete
  4. Terima kasih kepada yang mengulas. Saya baru perasan ada ulasan tentang cerpen saya. Apa pun terima kasih kerana sudi luangkan masa dengan membaca cerpen saya :)

    ReplyDelete
  5. Teruskan mungkin ini bakat yg terpendam dik ika ! Dan alfatihah pada arwah berdua , ceritanya mengenai persahabat begini akan menjadi manafaat pada org lain erti sebuah persahabatan

    ReplyDelete